Friday, October 19, 2012

Susu Ibu Susu Terbaik


Rubi mula bercita-cita ingin menyusukan anak sejak Rubi tahu Rubi mengandung lagi. Waktu tu Rubi mengandungkan anak pertama. Rubi mula membaca blog-blog berkenaan penyusuan dan membeli buku Pa&Ma untuk menambah ilmu. Rubi tak pernah pun terfikir nak jimatkan duit dengan menyusukan anak. Rubi cuma mahu menyusukan sebab Rubi tahu itu yang terbaik untuk anak Rubi..

Namun apakan daya Rubi hendak menhalang takdir Allah S.W.T, anak pertama disahkan hydrops fetalis sewaktu 17minggu dalam kandungan. Rubi menangis hampir setiap hari, macam nak mati rasanya tak sanggup nak keluarkan anak secara paksa pada 1 Mei 2010. Tetapi keputusan telah pun dibuat, Rubi redha jika betul dia tak mampu hidup lama jika saya terus mengandungkannya. Sesungguhnya Rubi rasa Rubi yang bersalah dalam hal ini.

Selepas melahirkan anak pertama (Muhammad), Rubi tetap perlu berpantang macam ibu-ibu lain. Cuma tiada bayi yang hendak disusukan. Hati Rubi bertambah sedih kerana susu tetap keluar dan Rubi juga bengkak susu.

Allah itu maha pengasih..Dia memberi peluang kedua kepada Rubi apabila Rubi disahkan mengandung pada Julai 2010. Rubi melahirkan Muhammad Al-Fateh pada 5 April 2011. Kelahiran Fateh pengubat rindu Rubi pada Muhammad kerana mereka memang agak seiras. Rubi mendakapnya selepas dia keluar dan terus menyusukan di katil hospital sepanjang malam tanpa henti. Biarpun penat belum hilang tetapi kepenatan diganti dengan nikmat menyusukan yang hebat. Rubi rasa Rubi seorang ibu yang sempurna apabila dapat menyusukan dan Rubi bangga melakukannya.

Seminggu menyusukan masalah lain Rubi hadapi iaitu puting pecah. Rasa hendak menangis setiap kali menyusukan sebab puting yang agak pendek. Tetapi Rubi tetap menyusukan dengan bantuan suami. Melalui pembacaan yang berterusan, Rubi tahu rupanya teknik lekapan mulut bayi yang kurang betul boleh menyebabkan puting kita sakit. Rubi membetulkan lekapan mulut bayi dari semasa ke semasa sehingga biarpun puting pecah Rubi masih yakin ingin meneruskan penyusuan dan teknik yang betul mengurangkan kesakitan puting berbanding sebelumnya kerana bayi sudah tidak menghisap di puting tapi di bahagian areola (bahagian yang gelap). Rubi menjadi bertambah yakin menyusukan Fateh dimana sahaja. 

Rubi mula mengepam secara kecil kecilan semasa pantang. Dan, setelah Rubi mendapat pekerjaan Rubi berjaya mengepam 8-10 botol sehari (4-5 oz sebotol). Biarpun, berbadan agak kecil berbanding orang lain tapi semangat Rubi agak besar untuk menyusukan anak yang kedua pula yang bakal lahir pada November ini dan meneruskan penyusuan Muhammad Al-Fateh sehingga dua tahun. Fateh masih mahu bermanja dengan Rubi “ Ummi, ateh nak manja-manja” . Seawal usia 1 tahun 6 bulan sudah beradik nanti Ummi harap Fateh mahu berkongsi menyusu bersama adik.

Itu niat saya, semoga Allah mempermudahkannya. Semangat penyusukan bukan hadir dari orang lain tapi diri sendiri. Tiada siapa menyokong Rubi untuk menyusukan. Hanya Rubi beriya-iya meyakinkan orang sekeliling termasuk keluarga bahawa Rubi akan menyusukan anak dengan susu ibu sepenuhnya. Suami tercintalah tempat Rubi meminta kekuatan ini. Hanya dia yang selalu menyokong supaya terus menyusukan anak-anaknya.Terima Kasih Sayang ~ Rais Abdul Majid, I Love You