Rubi mula bercita-cita ingin menyusukan anak sejak Rubi tahu
Rubi mengandung lagi. Waktu tu Rubi mengandungkan anak pertama. Rubi mula
membaca blog-blog berkenaan penyusuan dan membeli buku Pa&Ma untuk menambah
ilmu. Rubi tak pernah pun terfikir nak jimatkan duit dengan menyusukan anak.
Rubi cuma mahu menyusukan sebab Rubi tahu itu yang terbaik untuk anak Rubi..
Namun apakan daya Rubi hendak menhalang takdir Allah S.W.T, anak pertama disahkan hydrops fetalis
sewaktu 17minggu dalam kandungan. Rubi menangis hampir setiap hari, macam nak mati rasanya tak sanggup
nak keluarkan anak secara paksa pada 1 Mei 2010. Tetapi keputusan telah pun
dibuat, Rubi redha jika betul dia tak mampu hidup lama jika saya terus
mengandungkannya. Sesungguhnya Rubi rasa Rubi yang bersalah dalam hal ini.
Selepas melahirkan anak pertama (Muhammad), Rubi tetap perlu berpantang macam ibu-ibu lain. Cuma tiada bayi yang hendak disusukan. Hati Rubi bertambah sedih kerana
susu tetap keluar dan Rubi juga bengkak susu.
Allah itu maha pengasih..Dia memberi peluang kedua kepada
Rubi apabila Rubi disahkan mengandung pada Julai 2010. Rubi melahirkan Muhammad
Al-Fateh pada 5 April 2011. Kelahiran Fateh pengubat rindu Rubi pada Muhammad
kerana mereka memang agak seiras. Rubi mendakapnya selepas dia keluar dan terus menyusukan di katil hospital
sepanjang malam tanpa henti. Biarpun penat belum hilang tetapi kepenatan
diganti dengan nikmat menyusukan yang hebat. Rubi rasa Rubi seorang ibu yang sempurna apabila
dapat menyusukan dan Rubi bangga melakukannya.
Seminggu menyusukan masalah lain Rubi hadapi iaitu puting
pecah. Rasa hendak menangis setiap kali menyusukan sebab puting yang agak
pendek. Tetapi Rubi tetap menyusukan dengan bantuan suami. Melalui pembacaan yang berterusan, Rubi tahu rupanya teknik
lekapan mulut bayi yang kurang betul boleh menyebabkan puting kita sakit. Rubi membetulkan lekapan mulut bayi dari semasa ke semasa
sehingga biarpun puting pecah Rubi masih yakin ingin meneruskan penyusuan dan teknik yang betul mengurangkan kesakitan puting berbanding sebelumnya
kerana bayi sudah tidak menghisap di puting tapi di bahagian areola (bahagian yang gelap). Rubi menjadi bertambah yakin menyusukan Fateh dimana sahaja.
Rubi mula mengepam secara
kecil kecilan semasa pantang. Dan, setelah Rubi mendapat pekerjaan Rubi berjaya mengepam 8-10
botol sehari (4-5 oz sebotol). Biarpun, berbadan agak kecil berbanding orang lain tapi
semangat Rubi agak besar untuk menyusukan anak yang kedua pula yang bakal lahir
pada November ini dan meneruskan penyusuan Muhammad Al-Fateh sehingga dua tahun.
Fateh masih mahu bermanja dengan Rubi “ Ummi, ateh nak manja-manja” . Seawal usia 1 tahun 6 bulan sudah beradik nanti Ummi harap Fateh mahu berkongsi menyusu bersama adik.
Itu niat saya, semoga
Allah mempermudahkannya. Semangat penyusukan
bukan hadir dari orang lain tapi diri sendiri. Tiada siapa menyokong Rubi untuk
menyusukan. Hanya Rubi beriya-iya meyakinkan orang sekeliling termasuk keluarga
bahawa Rubi akan menyusukan anak dengan susu ibu sepenuhnya. Suami tercintalah
tempat Rubi meminta kekuatan ini. Hanya dia yang selalu menyokong supaya terus
menyusukan anak-anaknya.Terima Kasih Sayang ~ Rais Abdul Majid, I Love You